top of page

Nak Baju Sentiasa Putih Bersih? Ikuti Cara Ini!

Baju putih ni boleh dikatakan antara warna yang wajib ada dalam setiap almari individu. Memang cantik bila dipakai, tapi yang tahu tu tahu lah betapa susahnya nak jaga baju putih biar sentiasa putih. Lagi-lagi baju putih sekolah. Pergi sekolah baju suci putih bersih, balik sekolah dah macam belacan! Penuh dengan kesan kotoran. Situasi seterusnya bila kita pergi ke restoran dan baju putih kita terkena makanan yang kita makan. Tambah pula baju tu mahal, boleh murung kita!



Antara solusi yang paling mudah dan popular untuk basuh baju-baju putih ini adalah dengan menggunakan peluntur baju. Tapi, seperti yang kita tahu, bila kerap guna peluntur, fabrik baju boleh rosak dan sangat membahayakan. Jadi hari ini, kami nak kongsikan beberapa bahan dapur mudah dapat yang anda boleh gunakan untuk hilangkan kesan kotoran degil yang ada pada baju putih.


5 Bahan Dapur Berkesan Untuk Menghilang Kesan Kotoran Pada Baju Putih

Baju putih anda cepat sangat kotor? Tapi taknak guna peluntur? Cuba 5 bahan dapur mudah dapat ini!


1. Perahan Lemon

Lemon ni bukan setakat buat air je sedap, ia mampu untuk memutihkan baju juga! Caranya mudah.

  • Rendamkan baju di dalam baldi dengan air bersih. Pastikan baju terendam sepenuhnya.

  • Ambil 1 hingga 2 biji lemon (keperluan lemon bergantung kepada kuantiti baju) dan perahkan ke dalam rendaman tadi.

  • Selesai perah, lemon tadi pun anda masukkan juga ke dalam rendaman dan kacau rata.

  • Rendam selama 10 minit sahaja. Jangan terlebih pula.

  • Kemudian, cuci macam biasa.

2. Cecair Pencuci Pinggan

Sabun pencuci pinggan dekat dapur anda tu juga serba boleh. Misal kata baju putih anda yang mahal tu terkena sambal, jangan risau. Tenang. Cecair pencuci pinggan boleh tolong.

Tak kisahlah jenama apa sekali pun, picit sikit botol tu pada jari dan gosokkan jari anda terus kepada kotoran tersebut. Lepas dah sapu, biarkan dalam 15 hingga 20 minit lepas tu boleh cuci macam biasa.


3. Sabun Buku

Seterusnya sabun buku. Kalau anda ada kotoran degil pada baju putih anda, gunakan sabun buku. Kalau tak ada sabun buku boleh beli dekat kedai runcit. Tak mahal pun!

Cara nak guna pun mudah. Mula-mula basahkan dulu keseluruhan baju. Selepas baju dah basah, gosokkan sabun buku terus pada bahagian kotoran. Nak extra power, gunakan berus baju dan gosok kawasan kotor tu tadi sampai hilang. Selesai gosok boleh cuci macam biasa. Mudah, kan?!


4. Cuka

Anda boleh gantikan peluntur yang dibeli di pasaran dengan menggunakan cuka. Menariknya cuka ni, ia boleh mengembalikan kecerahan baju putih secara keseluruhan. Caranya adalah dengan memasukkan 100ml hingga 250ml (bergantung kepada kuantiti baju) air limau nipis ke dalam baju yang telah direndam bersama sabun. Biarkan baju terendam 15 minit. Selepas itu, basuh dan bilas seperti biasa. Selain itu juga, anda boleh masukkan terus cuka di dalam mesin basuh yang berisi baju dan sabun dan cuci seperti biasa.


5. Limau Nipis

Okay, katakan lah lemon dekat rumah tak ada. Anda lagi suka minum limau ais dari lemon ais. Haa jangan risau. Limau pun boleh guna juga! Macam yang kita tahu, ada sesetengah baju warna dia tumpah bila kita cuci. Tambah pedih bila warna tu tumpah dekat baju putih kita. Haa cuba tips ni.

  • Rendam baju dalam air panas

  • Ambik beberapa biji limau (5 hingga 10 biji) bergantung kepada beberapa banyak baju dan kesan lunturan tadi

  • Perah ke dalam air panas yang mengandungi baju tadi

  • Campurkan sedikit sabun basuh

  • Kacau dan rendam dalam sejam

  • Bilas seperti biasa

Lepas ni jangan buang terus baju putih yang ada kotoran degil. Benda boleh bincang! Harap perkongsian kami kali ni dapat membantu!

251 views0 comments
bottom of page